4 SIFAT RASULULLAH SAW: SIDDIQ, AMANAH, TABLIGH & FATHONAH
Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang amat bersopan dalam bertutur
kata, jujur, tidak pernah berdusta serta luhur budi pekertinya. Hal
inilah yang membuat kita mengagumi Baginda. Sehingga ke hari ini,
Baginda SAW dikagumi ramai orang di seluruh pelosok dunia kerana
keperibadian Baginda yang amat luar biasa. Michael H.Hart di dalam
bukunya ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’
meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia paling berpengaruh di dunia di
kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia.
Beliau
mempunyai perilaku dan akhlak yang sangat mulia terhadap sesama
manusia, khususnya terhadap umatnya tanpa membezakan atau memandang
seseorang dari status sosial, warna kulit, suku bangsa atau golongan.
Beliau selalu berbuat baik kepada siapa saja bahkan kepada orang jahat
atau orang yang tidak baik kepadanya. Oleh kerana itu tidak
menghairankan kerana di dalam Al-Quran, beliau disebut sebagai manusia
yang memiliki akhlak yang paling agung.
“Sesungguhnya telah ada pada
diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang
mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)
Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak
dan sifat-sifat yang sangat mulia. Oleh kerana itu hendaklah kita
mempelajari sifat-sifat Baginda iaitu Siddiq, Amanah Tabligh dan
Fathonah.
1. SIDDIQ
Siddiq ertinya benar. Benar adalah
suatu sifat yang mulia yang menghiasi akhlak seseorang yang beriman
kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib. Ia merupakan sifat
pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul yang dikirim Tuhan ke
alam dunia ini bagi membawa wahyu dan agamanya.
Pada diri Rasulullah
SAW, bukan hanya perkataannya yang benar, malah perbuatannya juga benar,
yakni sejalan dengan ucapannya. Jadi mustahil bagi Rasulullah SAW itu
bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.
“Dan tiadalah yang
diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya
itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (QS An-Najm:
4~5)
2.AMANAH
Amanah ertinya benar-benar boleh
dipercayai. Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya
bahawa urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana
itulah penduduk Makkah member gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan
gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘terpercaya’, jauh sebelum beliau
diangkat jadi seorang Rasul. Apa pun yang beliau ucapkan, dipercayai dan
diyakini penduduk Makkah kerana beliau terkenal sebagai seorang yang
tidak pernah berdusta.
“Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu.” (QS Al-A'raaf: 68)
Mustahil
Rasulullah SAW itu berlaku khianat terhadap orang yang memberinya
amanah. Baginda tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Rasul atau
sebagai pemimpin bangsa Arab untuk kepentingan peribadinya atau
kepentingan keluarganya, namun yang dilakukan Baginda adalah semata-mata
untuk kepentingan Islam melalui ajaran Allah SWT.
Ketika Nabi
Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta, wanita oleh kaum Quraisy agar
beliau meninggalkan tugas ilahinya menyiarkan agama Islam, Baginda
menjawab:
”Demi Allah… wahai pakcik, seandainya mereka dapat
meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku agar
aku meninggalkan tugas suci ku, maka aku tidak akan meninggalkannya
sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya”……
Meskipun
kaum kafir Quraisy mengancam membunuh Baginda, namun Baginda tidak
gentar dan tetap menjalankan amanah yang dia terima. Setiap orang Muslim
sepatutnya memiliki sifat amanah seperti Baginda SAW.
3.TABLIGH
Tabligh
ertinya menyampaikan. Segala firman Allah SWT yang ditujukan oleh
manusia, disampaikan oleh Baginda. Tidak ada yang disembunyikan walaupun
ianya menyinggung Baginda sendiri.
“Supaya Dia mengetahui, bahawa
sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah
Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia
menghitung segala sesuatu satu persatu.” (QS Al-Jin: 28)
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya.” (QS 'Abasa: 1~2)
Dalam
suatu riwayat dikemukakan bahawa firman Allah (QS 'Abasa: 1) turun
berkenaan dengan Ibnu Ummi Maktum yang buta yang datang kepada
Rasulullah SAW sambil berkata: “Berilah petunjuk kepadaku, ya
Rasulullah.” Pada waktu itu Rasulullah SAW sedang menghadapi para
pembesar kaum musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah berpaling
daripadanya dan tetap melayani pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Maktum
berkata: “Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?” Rasulullah
menjawab: “Tidak.” Maka ayat ini turun sebagai teguran di atas perbuatan
Rasulullah SAW. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim yang
bersumber dari ‘Aisyah. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Ya’la yang bersumber
dari Anas.)
Sebetulnya apa yang dilakukan Rasulullah SAW itu menurut
standard umum adalah hal yang wajar. Ketika sedang berbicara di depan
umum atau dengan seseorang, tentu kita tidak suka diganggu oleh orang
lain. Namun untuk standard Nabi, itu tidak cukup. Oleh kerana itulah
Allah SWT telah menegur Baginda SAW.
Sebagai seorang yang tabligh,
meski ayat itu menyindirnya, Nabi Muhammad SAW tetap menyampaikannya
kepada kita. Itulah sifat seorang Nabi. Jadi, mustahil Nabi itu ‘kitman’
atau menyembunyikan wahyu.
4. FATHONAH
Fathonah
ertinya bijaksana. Mustahil bagi seseorang Rasul itu bersifat bodoh atau
jahlun. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan kemudian menjelaskannya
dalam puluhan ribu hadis memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.
Baginda
SAW harus mampu menjelaskan firman-firman Allah SWT kepada kaumnya
sehingga mereka mahu memeluk Islam. Nabi juga harus mampu berdebat
dengan orang-orang kafir dengan cara yang sebaik-baiknya.
Apatah lagi
Baginda mampu mengatur umatnya sehingga berjaya mentransformasikan
bangsa Arab jahiliah yang asalnya bodoh, kasar/bengis, berpecah-belah
serta sentiasa berperang antara suku, menjadi satu bangsa yang berbudaya
dan berpengetahuan. Itu semua memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.
Semoga kita dapat menerapkan 4 sifat Baginda SAW di atas di dalam kehidupan kita dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Wallahua’lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar